Sukan

Pusat Latihan Kebangsaan FAM di Putrajaya siap Disember 2026

Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Presint 5, Putrajaya, yang menelan belanja keseluruhan RM69 juta dijadual siap seawal Disember 2026.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pembinaan NTC FAM di atas tapak seluas 5.2 hektar berhampiran Taman Ekuestrian Putrajaya itu melibatkan dua fasa iaitu Fasa 1 yang dijangka siap pada Disember 2026 manakala Fasa 2 setahun kemudian.

Beliau berkata, pembinaan Fasa 1 NTC FAM dibiayai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$5.2 juta (kira-kira RM24 juta) dan dilaksanakan oleh syarikat tempatan RS Green Master (M) Sdn Bhd, merangkumi kemudahan antara lain tiga padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu Bermuda, hibrid dan tiruan.

“Fasa 2 pula adalah peruntukan daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dengan tender dijangka dibuka pada September 2024, membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi merangkumi gimnasium, ruang serba guna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan yang dibina pada Fasa 1,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah NTC FAM pada Rabu.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia, Datuk Seri Windsor John dan Pengarah Serantau Ahli Gabungan FIFA (Asia & Oceania), Sanjeevan C. Balasingam.

Hamidin berharap dengan terbinanya NTC yang merupakan cetusan bekas Presiden FAM Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah itu, pusat tersebut akan menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur FAM yang telah dirancang sejak beberapa tahun lepas, termasuk projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM juga terletak di Presint 5, di sini.

“Selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan projek NTC ini ialah Tan Sri Dr. Aseh Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

“Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek NTC ini satu kenyataan,” katanya.

Beliau juga berharap pembinaan NTC FAM akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan.

Related Articles

Back to top button