Semasa

Kadar baharu gaji penjawat awam diumum sebelum Belanjawan 2025

Perdana Menteri memaklumkan beliau akan mengumumkan kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan di majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu berkata, sudah terlalu lama tiada penyelarasan kenaikan gaji kepada penjawat awam dilaksana.

“Sudah berbelas tahun tak ada kajian dan ganjaran yang adil.

“Sebab itu saya semalam di parlimen apabila ditegur saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam dan Insya-ALLAH saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini,” katanya.

Anwar turut menyatakan harapan agar kenaikan gaji itu memberi suntikan semangat untuk penjawat awam bekerja lebih kuat.

Dalam pada itu Anwar turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak terikut-ikut dengan naratif pembangkang berhubung isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Katanya, pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya termasuk menggelarnya sebagai ‘anak angkat’ Amerika Syarikat (AS) dan mengikut nasihat Yahudi.

“Rakan-rakan penjawat awam harus ikuti (isu ini), bukan ceramah politik maki hamun orang, dajalkan orang, kafirkan orang (seperti) yang mereka lakukan di (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap,” tegasnya.

BACA LAGI: Kerajaan tekad noktahkan kemiskinan termasuk melalui penggubalan Dasar Gaji Progresif

Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa menjawab tohmahan pembangkang berhubung dakwaan penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Jelasnya, GIP dipilih berikutan persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

Malah tidak wujud soal penjualan kepentingan memandangkan pemilikan kolektif Malaysia dalam MAHB meningkat kepada 70 peratus berbanding 41 peratus pada masa ini .

Related Articles

Back to top button