Nasional

KPDN atasi masalah jurang harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan Semenanjung – Menteri

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah dan sedang melaksanakan beberapa bentuk perancangan dan tindakan dalam menangani isu jurang perbezaan harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan Semenanjung Malaysia.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara tersebut melibatkan dasar dan program merentasi pelbagai kementerian dan agensi meliputi aspek mekanisme subsidi barangan, bahan makanan, pengangkutan dan lain-lain.

“Dua program spesifik utama di bawah tanggungjawab langsung KPDN iaitu Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (PPHSSL) atau Port to Port yang melibatkan peruntukan tahunan RM40
juta.

“Seterusnya, Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming atau PoS to PoS iaitu Point of Source (PoS) to Point of Sale (PoS) dengan peruntukan RM225 juta,” katanya.

Armizan berkata demikian ketika pertanyaan lisan yang ditujukan kepadanya daripada Lo Su Fuit yang merupakan Ahli Parlimen Tawau berkenaan isu jurang perbezaan harga antara wilayah yang berlaku sejak sekian lama.

Pada masa yang sama, kerajaan turut melaksanakan program berbentuk intervensi dan mitigasi melalui pemberian subsidi.

“Ini bertujuan bagi memastikan penduduk di Sabah, Sarawak dan Labuan mendapat akses kepada barang-barang keperluan asas dan bahan makanan tertentu.

Dalam pada itu, kerajaan juga meneruskan pemberian subsidi bahan makanan tertentu bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Selain daripada itu, bermula tahun 2024, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Harga di wilayah berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II dan diletakkan di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Jawatankuasa ini berperanan untuk meneliti isu, cabaran dan melaksanakan kajian berhubung masalah harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab dalam merangka strategi dan mekanisme dalam menstabilkan harga yang lebih mampan di wilayah berkenaan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, selain kementerian dan agensi persekutuan, jawatankuasa ini juga dianggotai wakil dari Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menerusi jawatankuasa tersebut, satu kajian menyeluruh penstabilan harga bermula Mei 2024 sedang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk mengenal pasti isu dan masalah jurang perbezaan harga dan seterusnya mengemukakan syor dan cadangan berkaitan.

Related Articles

Back to top button