Semasa

PADU kini masuk fasa dua – Menteri Ekonomi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kini sudah memasuki fasa dua.

Melalui jawapan lisan di Parlimen pada Rabu, Rafizi menjelaskan, fasa tersebut membabitkan proses penentuan golongan sasar serta pembentukan perincian ‘use case’ dan mekanisme pemberian subsidi bersasar.

Ia jelasnya tidak hanya tertumpu kepada penyasaran semula subsidi serta bantuan, tetapi turut bertujuan mengenal pasti tahap sosioekonomi rakyat dan penentuan penyaluran bantuan.

“Data yang terdapat dalam PADU boleh membantu menghasilkan ‘algoritma use-case’ yang terpilih berdasarkan keperluan dan dasar semasa kerajaan.

“Kementerian Ekonomi akan memanfaatkan data PADU bagi pelaksanaan program di bawah kementerian seperti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), yang mana proses validasi dan verifikasi permohonan IPR akan menggunakan data PADU,” katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang bertanyakan status terkini inisiatif itu.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, PADU juga dapat membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dengan menggunakan kaedah pendapatan boleh guna bersih.

Katanya, kaedah tersebut jelasnya akan mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

BACA LAGI; Veteran ATM disaran kemaskini VIBES 2.0, elak tertinggal terima bantuan kerajaan

“Selain dapat mengurangkan keciciran dan kesilapan data dalaman dan luaran, kaedah ini akan turut membolehkan kerajaan beralih daripada pengenalpastian kumpulan sasar berdasarkan konsep B40, M40 dan T20 kepada pendekatan berdasarkan kewajaran pemberian bantuan mengikut kriteria yang ditetapkan,” tambah Ahli Parlimen Pandan itu.

Related Articles

Back to top button