Semasa

Pasukan keselamatan sentiasa siap siaga hadapi sebarang ancaman keganasan – Menteri KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menangani sebarang ancaman keganasan.

Saifuddin ketika ditemui pemberita berkata, ia dapat dilihat melalui kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menahan beberapa individu yang cuba mengembangkan ideologi berkenaan baru-baru ini.

“Elemen Daesh itu masih ada tetapi polis telah berjaya mematahkan cubaan berkenaan menunjukkan bahawa pihak keselamatan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa.

“Tangkapan ini juga menunjukkan elemen Daesh ini berada dalam batas ruang di mana pasukan keselamatan mampu tanganinya,” katanya.

Saifuddin ditemui selepas hadir menyempurnakan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Acara itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan Khairul Anwar Bachok.

BACA LAGI: Ideologi ekstrem ancam ketenteraman awam, wajar dipatahkan

Pada Isnin, media melaporkan lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lepas.

Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang dengan kesemua suspek yang berusia 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Related Articles

Back to top button