Parlimen

Pindaan Akta Perubatan 1971 akan dibentang pada minggu keempat sidang Dewan Rakyat

Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dijangka dibentang dan dibahaskan pada minggu keempat sidang Dewan Rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pindaan itu bagi menyelesaikan isu ketidakaturan berkaitan latihan kepakaran perubatan di Malaysia yang terdiri daripada Program Sarjana Perubatan dan Latihan Kepakaran Laluan Paralel.

“Sebanyak 120 Program Sarjana Perubatan dan 14 bidang kepakaran bagi Latihan Kepakaran Laluan Paralel semuanya akan dapat kita letakkan keteraturan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai sama ada kerajaan bercadang menangguhkan pembentangan pindaan Akta 50 dan merujuknya terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.

Dzulkefly berkata terdapat 6,933 pegawai perubatan yang mendapat tajaan menjalani latihan kepakaran perubatan dengan 6,142 daripadanya menjalani Program Sarjana Perubatan dan 791 menjalani Latihan Kepakaran Laluan Paralel.

Sementara itu, 2,622 pegawai perubatan pula menjalani Latihan Kepakaran Laluan Paralel tanpa tajaan.

“Anggaran kos perbelanjaan bagi setahun untuk penajaan Program Sarjana Perubatan adalah RM142.4 juta manakala penajaan bagi Latihan Kepakaran Laluan Paralel berjumlah RM10 juta,” katanya.

Related Articles

Back to top button