Nasional

Polis terima 85 laporan polis terkait himpunan ‘haram’ Sabtu ini di Putrajaya

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanayak 85 laporan polis telah diterima pihaknya berhubung satu perhimpunan yang dijangka akan diadakan di Tempat Letak Kereta Awam, berhadapan Kompleks Seri Perdana, Putrjaya pada Sabtu ini.

Beliau berkata, polis sudah membuka kertas siasatan di Bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta menasihati pihak penganjur untuk tidak meneruskan perhimpunan berkenaan.

“Polis mengesahkan menerima satu surat pemberitahuan daripada pihak penganjur pada 14 Jun. (Namun) perhimpunan ini perlu mendapatkan kebenaran daripada tuan tanah (iaitu Perbadanan Putrajaya), tetapi tuan tanah tidak membenarkan,” katanya pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi berkata, polis juga mendapati, terdapat satu video tular berdurasi 3 minit 41 saat di aplikasi Tiktok memaparkan diskusi mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan #rakyatlawananwar sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kita menasihati penganjur yang menggerakkan diri mereka sebagai ‘Demi Negara’ untuk tidak meneruskan perhimpunan. Orang ramai juga diminta untuk tidak ikut serta dan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada,” katanya.

Selain itu, Rusdi berkata, pihaknya masih menyiasat mengenai individu yang menjadi pendukung kepada perhimpunan terbabit kerana ini bukan kali pertama mereka mengadakan perhimpunan.

“Kalau mereka teruskan juga, polis akan menempatkan anggota di kawasan perhimpunan,” katanya.

Terdahulu, tular poster yang menyiarkan jemputan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Demi Negara diketuai seorang pempengaruh yang menggelarkan dirinya ‘YB Viral’ akan menganjurkan demonstrasi dinamakan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar (Round 1)’.

Related Articles

Back to top button