Pilihanraya

Hari pengundian PRK DUN Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos depan – SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos depan.

Sejumlah 20,259 pemilih terlibat dengan peruntukan kos kira-kira RM 1.6 juta.

“Seramai 431 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Dun Nenggiri manakala 20 pusat mengundi biasa yang mengandungi 46 tempat mengundi atau saluran dan sebuah pusat mengundi awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 21 buah dengan 47 saluran,” katanya menerusi sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan di Putrajaya, hari ini.

19 Jun lalu, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kekosongan luar jangka kerusi N43 Nenggiri.

Mohd Amar berkata, keputusan dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun.

Selain itu parti Bersatu pada 12 Jun lepas juga memaklumkan Mohd Azizi telah hilang keahlian, dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka pada kerusi berkenaan.

Semalam, Mohd Azizi gagal untuk menghentikan PRK DUN itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan, Isnin lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa, Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak berdepan kesulitan jika PRK dijalankan semula.

Beliau berkata, ini kerana ahli politik terbabit masih berpeluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya terbabit.

Ketika prosiding yang dibuat secara tertutup, Pesuruhjaya Kehakiman berkata, injunksi sementara tidak boleh menghalang SPR daripada menjalankan tugas mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Related Articles

Back to top button