Semasa

KDN bangunkan Pelan Induk kukuh kawalan keselamatan di sempadan negara – Menteri

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang membangunkan Pelan Induk KDN Berhubung Kawalan Keselamatan Sempadan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia sebagai usaha pengukuhan kawalan keselamatan di sempadan melalui pembangunan strategi dan pelan tindakan bersepadu, membabitkan KDN dan agensi kawalan sempadan lain.
.
“Fokus strategi dirangka untuk memperkukuh kawalan keselamatan sempadan akan dilaksanakan secara pemusatan kepada lima sempadan hadapan negara.
.
“Lima sempadan hadapan negara itu masing-masing utara (Kedah, Perlis dan Perak); timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang); selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor); Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Terdahulu beliau menjawab soalan Mordi Anak Bimol (PH-Mas Gading) mengenai bidang kuasa dan kerjasama semua agensi kawalan sempadan membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan larangan yang semakin berleluasa di sempadan Sarawak-Indonesia.

Sementara itu sebagai mengulas mengenai Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS), Saifuddin berkata KDN sedang melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Sistem Kawalan NBCS seiring usaha memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi kawalan keselamatan sempadan.

BACA LAGI: KDN mahu adaptasi teknologi untuk kukuh kawalan sempadan negara

“Pembangunan sistem NBCS ini akan dilengkapi sistem pengawasan terkini dan teknologi AI bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan.

“Ia bertujuan melindungi sempadan darat dan maritim negara demi keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button