PRK Sungai Bakap: AMK lapor polis, dakwa bahan kempen disabotaj
Satu laporan polis difailkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang bagi mengesa siasatan dilakukan terhadap tindakan mensabotaj kempen jentera Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Ketuanya Muhammad Fadzli Roslan mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang pihaknya di sekitar kawasan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di Nibong Tebal telah diturunkan pihak tidak bertanggungjawab.
Sebahagian bahan kempen itu juga jelasnya telah didapati dibuang ke dalam longkang.
“Pada 12.30 tengah malam tadi, ketika saya bersama pasukan petugas (AMK) yang berada di sekitar Bandar Tasek Mutiara dan Puteri Gunung telah melakukan rondaan di kawasan Simpang Ampat dan mendapati ada beberapa individu berpakaian awam sedang memasang bendera parti Perikatan Nasional (PN).
“Lanjutan daripada itu, kami meneruskan rondaan dan selepas itu mendapati beberapa bahan kempen yang dipasang petugas-petugas daripada Pakatan Harapan (PH) telah pun dirosakkan dan digantikan dengan bendera atau gegantung parti PN,” katanya.
Muhammad Fadzli ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Nibong Tebal pada Khamis.
BACA LAGI: Pengundi Sungai Bakap diseru pilih pemimpin berkualiti untuk ke arah lebih baik
Muhammad Fadzli berkata pihaknya enggan menuding jari kepada mana-mana pihak namun kesal kerana perbuatan tersebut telah mencemarkan kempen PRK yang sepatutnya berlangsung dalam suasana yang sihat.
Bagaimanapun segala bukti termasuk gambar di lokasi kejadian telah pun diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail.
Pilihan raya itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.