Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: Dr Joohari diyakini berpotensi untuk menang – Aiman Athirah

Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berpotensi mengambil alih kawasan itu.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu berikutan kesungguhan kerjasama erat antara parti Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam menggerakkan jentera.

Ia antara yang menjadi kekuatan dalam memastikan Joohari mendapat mandat pada PRK tersebut.

“Dan boleh pertemukan antara rakan-rakan kepimpinan parti masing-masing dengan rakan-rakan kepimpinan yang lain, insya-Allah.

“Tetapi peranan dalam kalangan kepimpinan itu juga penting, jadi kena turun.. tapi itulah satu cabaran kita sebenarnya sekarang sebab sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung, jadi ada sedikit kekangan masa..tetapi saya yakin dan percaya Sungai Bakap ini ada potensi untuk kita ambil alih,” katanya selepas menghadiri Ceramah Perpaduan di Dewan Serbaguna Sungai Buaya di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Khamis.

Selain calon PH, ceramah turut disertai Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Joohari dicabar Timbalan Ketua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai.

Kerusi Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Related Articles

Back to top button