Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: PM Anwar titip pesan kepada pengundi agar menangkan Dr Joohari

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan pesanan agar pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap khususnya anak muda memberi peluang kepada calon Kerajaan Perpaduan mewakili mereka.

Setiausaha Politik Kanannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang membawa pesanan itu berkata, kemenangan calon kerajaan Dr Joohari Ariffin di kawasan itu penting supaya lebih banyak program dan pembangunan dari segi infrastruktur dapat dilaksanakan dengan tuntas di Sungai Bakap.

“Sekarang Kerajaan Negeri Pulau Pinang selari dengan Kerajaan Persekutuan… bantulah kerajaan negeri, Perdana Menteri, untuk mengangkat calon yang boleh membantu,” katanya.

Ditemui pemberita ketika menghadiri satu acara bersama masyarakat di Kampung Sungai Duri di Nibong Tebal Shamsul berkata, perdana menteri amat prihatin dengan kawasan Sungai Bakap yang juga merupakan tempat lahir Perdana Menteri ke-10 itu.

Keprihatinan itu jelasnya dapat dilihat apabila Anwar mengumumkan peruntukan RM7 juta bagi pembangunan Masjid Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan yang diumumkan pada 16 Julai tahun lepas.

Media sebelum ini melaporkan, projek pembinaan masjid baharu di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap yang wujud sejak 1798 di sini dijangka dimulakan pada awal November ini dan dijangka akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

BACA LAGI:Joohari Ariffin kerja kuat menangi hati pengundi

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN), diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas, akibat keradangan dalam perut.

Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Dr Joohari yang merupakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara untuk merampas kerusi DUN itu manakala PN menamakan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon mereka.

Related Articles

Back to top button