Subsidi Diesel: kerajaan tambahbaik bantuan jika perlu – MoF
Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kata Kementerian Kewangan (MoF).
Kementerian itu melalui satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, kerajaan juga sekiranya perlu akan melaksana penambahbaikan bantuan dari masa ke semasa bagi memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
“Mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi memerlukan kajian yang teliti supaya tidak meningkatkan kos kepada industri sedia ada serta menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi yang berkesan kepada pihak industri agar tidak berlaku kejutan kepada ekonomi.
“Pelaksanaan juga perlu bersesuaian dan boleh dilaksanakan di samping mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas,” kata MoF.
BACA LAGI: Penyasaran semula subsidi diesel beri impak positif
Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan tarikh melaksanakan mekanisme lebih mantap untuk menentukan siapa yang layak atau tidak layak untuk menerima setiap bantuan subsidi tersebut.
Sementara itu melalui jawapan sama MoF berkata, kerajaan menyediakan bantuan bersasar terutamanya untuk sektor logistik serta individu yang memiliki kenderaan diesel di samping petani kecil dan pekebun kecil komoditi bagi mengurangkan impak kepada kos sara hidup dan rakyat yang dikenali sebagai Bantuan Subsidi MADANI (atau BUDI MADANI).