Semasa

175,000 kenderaan perdagangan belum daftar SKDS – Timbalan Menteri KPDN

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh sekali lagi menyeru kira-kira 175,000 kenderaan barangan yang belum mendaftar bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 supaya segera berbuat demikian.

Langkah itu bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang membuat tuntutan pembelian diesel yang dilakukan bagi tempoh 10 Jun lepas hingga akhir bulan ini.

“Ketika ini kenderaan yang layak ada lebih kurang 410,000 kenderaan tapi yang berdaftar di bawah SKDS baru 234,000 kenderaan, jadi maksudnya lebih kurang 175,000 kenderaan masih belum berdaftar untuk mendapatkan Fleet Card Diesel,” katanya.

Beliau membuat seruan itu ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0 dan Karnival Kepenggunaan Negeri Kedah di Kulim pada Jumaat.

Program Hari Terbuka SKDS 2.0 diadakan bagi memastikan golongan layak menerima subsidi diesel dibawah inisiatif itu terus mendapat manfaat tersebut.

Sebanyak 23 jenis kenderaan mengangkut barang layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0

Kenderaan yang layak menerima subsidi diesel termasuk lori rigid (curtain sider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (van panel), dan lori rigid (kombinasi).

Selain itu, turut diberikan subsidi ialah bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan, dan lori rigid (sampah).

BACA LAGI: Jangan guna taktik salahkan kerajaan untuk naikkan harga

Sementara itu Fuziah sebagai mengulas dakwaan peningkatan harga bahan binaan susulan penyasaran subsidi diesel mengingatkan syarikat dalam sektor berkenaan agar berhati-hati menaikkan harga dan tidak mengambil kesempatan.

Tegasnya, sekiranya syarikat terbabit menggunakan kenderaan barangan yang layak mendapat Fleet Card Diesel, mereka tidak sepatutnya menaikan harga kerana mereka memperoleh subsidi.

“Jadi maksudnya bukan semua barang-barang pembinaan ini termasuk dalam kategori yang boleh naik harga, sebab itu saya kata jangan ambil kesempatan,” katanya sambil menegaskan KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap kenaikan harga yang tidak wajar.

Related Articles

Back to top button