Semasa

RUU konservasi tenaga, penyasaran subsidi diesel selari matlamat capai karbon sifar – Chean Chung

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 di Dewan Rakyat dan tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel selari matlamat mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Melalui satu kenyataan pada Jumaat beliau berkata, keputusan mengapungkan harga diesel mengikut harga pasaran semasa bukan sahaja menggalakkan penjimatan, malah mencetus kepenggunaan alternatif tenaga baharu seperti suria, angin, hidro dan biogas.

“Diesel merupakan tenaga ‘kotor’ dan akan melepaskan 2.7 kilogram (kg) karbon dioksida (CO2) bagi setiap liter diesel yang digunakan, jika harga diesel sengaja ditekan pada tahap murah, ramai akan cenderung untuk terus membakar tenaga kotor ini.

“Mengikut kajian Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), bahan pencemar yang dilepaskan tidak terhad kepada CO2, malah terdapat komposisi beracun seperti ‘formaldehyde and polycylic aromatic hydrocarbon (PAH)’.

“Ia mengakibatkan 14,400 kematian daripada 82 juta orang di Jerman pada 2001,” katanya.

Selain membantu mencapai dasar karbon sifar bersih, penggunaan dan peralihan kepada tenaga baharu juga jelasnya akan membuka kewujudan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi.

Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 selepas dibahaskan 13 Ahli Parlimen.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika membawakan RUU itu berkata, ia berkait rapat dengan inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang 2050 oleh sektor berkaitan tenaga.

BACA LAGI: Kerajaan fokus agenda peralihan tenaga direncanakan melalui NETR

Dalam pada itu Chean Chung menyeru kerajaan Persekutuan berganding bahu bersama kerajaan Sarawak bagi mengangkat negeri berkenaan sebagai hab atau zon ekonomi kepada peralihan penggunaan tenaga tanpa karbon menjelang 2030.

Tambah beliau, ia berikutan Sarawak kaya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar serta hidro dan kerjasama tersebut bertujuan menerokai potensi sedia ada.

Related Articles

Back to top button