Semasa

Subsidi diesel: permohonan pembayaran tunai SKDS dibuka mulai Isnin – Amir Hamzah

Kerajaan akan mula menerima permohonan pembayaran tunai daripada penerima manfaat Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, mulai Isnin hadapan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Melalui satu kenyataan beliau berkata, antara terma dan syarat bagi mekanisme pembayaran semula interim ini adalah pemilik kenderaan logistik berkelayakan mesti memastikan sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun, tetapi belum menerima kad fleet.

Pembayaran semula itu jelasnya bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun sehingga menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu

“Pihak berkelayakan boleh memohon untuk mendapat pembayaran tunai ini melalui portal Budi Madani di budimadani.gov.my.

“Penuntut akan diberi bayaran semula secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel mutakhir iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun, dengan had liter bulanan yang ditetapkan,” katanya .

Kerajaan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di stesen minyak Semenanjung Malaysia mulai 10 Jun 2024 sebagai sebahagian usahanya mensasarkan semula pemberian subsidi.

Pelaksanaanya dijangka memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun kepada kerajaan di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

“Saya ingin mengulangi bahawa kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan juga giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar dan sentiasa terbuka kepada saranan penambahbaikan mencapai matlamatnya,” tambah Amir Hamzah.

BACA LAGI: KPDN bakal bawa rayuan pihak mahu subsidi diesel ke mesyuarat kabinet

Sementara itu beliau menegaskan pemohon pembayaran tunai perlu menyimpan resit asal pembelian diesel bagi tujuan audit.

Kementerian tambahnya akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam tempoh 15 hari bekerja bagi setiap tuntutan yang diluluskan.

Related Articles

Back to top button