Semasa

Kerajaan salur RM10 juta bantu tingkat pendidikan, potensi golongan pelaut

Kerajaan Perpaduan mengiktiraf sumbangan golongan pelaut terhadap sektor ekonomi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bagi meraikan pengorbanan mereka, kerajaan jelasnya bersetuju memperuntukkan RM10 juta bagi tahun ini bagi membantu golongan itu meningkatkan pendidikan dan memperoleh sijil tauliah dalam pelbagai peringkat.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Pelaut dan Rumah Api di Straits Quay , George Town pada Sabtu beliau menjelaskan peruntukan tersebut bakal disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)

“Buat pertama kali tahun ini kerajaan melalui PTPK di bawah Kementerian Sumber Manusia telah memperuntukkan RM10 juta untuk pemohon (pelaut) memohon Sijil Kecekapan (COC) dalam sarjana, pegawai, pengendali radio Global Maritime Distress and Safety Sytstem (GMDSS), penilaian dan COC lain yang berkaitan.

“Pelaut yang berminat boleh memohon melalui Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) untuk mendapat manfaat daripada inisiatif itu,” katanya.

Turut hadir pada acara itu adalah Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia Kapten Mohamad Halim Ahmed dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Sementara itu menurut Loke, kementeriannya sedang memperkenalkan kepada anak muda berkaitan bidang perkapalan dan maritim.

BACA LAGI: Malaysia-China sepakat kekal keamanan, keselamatan di Laut China Selatan

“Di negara kita mereka yang terlibat dalam profesion pelaut tidak berapa ramai, sekitar 11,000 orang sahaja yang aktif. Memang tujuan dan harapan kita perkenal profesion ini kerana sebenarnya banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai terutama golongan muda.

“Sebab itu kita bawakan (anjur) karnival hari ini kepada orang ramai sebab kami nak bagi pendedahan, sebenarnya pelaut memainkan peranan yang utama dalam ekonomi global,“ tambahnya.

Related Articles

Back to top button