Nasional

Kerajaan salur lebih RM133.5 juta kepada PPDK seluruh negara – KPWKM

Sebanyak RM133.5 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Dalam satu kenyataan, kementerian berkata setakat April 2024, kerajaan telah mengagihkan peruntukan kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh negara, dengan RM8,430,313.80 diperuntukkan kepada PPDK di seluruh Pulau Pinang.

“Bantuan kewangan ini adalah untuk memastikan program dan aktiviti harian PDK berjalan lancer termasuk program pemulihan dan pembangunan dengan penglibatan aktif daripada keluarga dan masyarakat setempat,” katanya.

Semasa lawatan ke Nibong Tebal pada Ahad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM558,723.60 kepada PPDK Puteri Gunung.

Dana ini meliputi elaun untuk pelatih OKU, gaji penyelia dan kakitangan, sewa premis, dan utiliti.

Beliau menyerahkan bantuan itu selepas merasmikan majlis penyampaian replika cek, sijil, dan kerusi roda kepada kumpulan sasar kementerian di Balai Raya Kampung Sungai Kechil di Jalan Sungai Kechil, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Program PDK merupakan strategi dalam pembangunan komuniti untuk pemulihan, latihan, pendidikan, peluang sama rata dan integrasi sosial orang kelainan upaya (OKU).

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 570 buah PPDK di seluruh negara, dengan 24 buah daripadanya adalah terletak di Pulau Pinang,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button