Semasa

Koperasi diseru manfaatkan bantuan, kemudahan pembiayaan disedia kerajaan

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP menyeru koperasi terlibat dalam aktiviti perniagaan memanfaatkan bantuan dan kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan.

Timbalan Menterinya, Datuk R. Ramanan berkata bantuan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjumlah RM100,000 hingga RM300,000 layak diberikan kepada koperasi yang masing-masing dikategorikan sebagai startup, scaleup dan advance bagi tujuan pembangunan ekonomi koperasi masing-masing.

“Skop bantuan ini adalah untuk menaik taraf premis perniagaan, pembelian infrastruktur seperti peralatan, mesin dan kelengkapan pembelian jentera serta penyediaan kawasan seperti sistem perparitan bagi kawasan ladang dan sebagainya,” katanya.

Ramanan berucap pada Program Sembang Santai Koperasi anjuran SKM di Dewan Masyarakat Perda Padang Lalang, Simpang Ampat pada Sabtu.

Startup merujuk kepada koperasi yang telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan manakala scaleup (setahun) dan advance (tiga tahun).

Sementara itu Ramanan berkata bagi membantu koperasi melaksanakan projek-projek berdaya maju, SKM turut menyediakan kemudahan pembiayaan kepada koperasi sama ada berkluster mikro atau koperasi berkluster besar.

Kemudahan itu layak dimohon selagi mengikut terma-terma SKM kerana ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya tanpa penelitian yang terperinci.

BACA LAGI: KUSKOP salur RM85.9 juta bantu koperasi jalankan projek berimpak tinggi

“Setakat ini, terdapat lapan produk pembiayaan dengan kadar faedah serendah satu peratus tersedia untuk dimanfaatkan lebih 15,000 koperasi di Malaysia.

“Contohnya bagi koperasi yang memerlukan modal pusingan perniagaan tetapi tidak mempunyai sebarang pegangan aset alih, koperasi boleh memohon di bawah produk pembiayaan khas tanpa cagaran dengan had maksimum pembiayaan sehingga RM200,000,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button