Menteri KPKM seru lebih ramai petani mohon bantuan BUDI Agri-Komoditi
Sebanyak 18,642 permohonan bantuan BUDI Agri-Komoditi telah diterima Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) setakat ini.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun permohonan yang diterima daripada petani dan pekebun kecil di seluruh Semenanjung itu agak tinggi, namun KPKM masih berharap lebih ramai golongan berkenaan berbuat demikian selepas ini.
“Jumlah itu secara umumnya sudah banyak, tapi kita masih berharap lebih ramai tampil memohon dan kementerian akan memudahkan urusan permohonan tersebut.
“Kita harap mereka yang layak memohon bantuan berkenaan agar usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, tercapai,” katanya.
Mohamad berkata begitu kepada pemberita pada perasmian program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2024@ Selangor, di Klang pada Sabtu.
BACA LAGI: BUDI MADANI tiada tarikh tutup, individu layak disaran segera mendaftar
Inisiatif BUDI MADANI dilancarkan sebagai inisiatif memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi), serta syarikat dan kenderaan pengangkutan menerusi (MySubsidi Diesel).
Ia meliputi sumbangan tunai RM200 kepada petani dan pekebun kecil di Semenanjung yang berdaftar dengan KPKM atau Kementerian Perladangan dan Komoditi.