PM Anwar seru semua pihak bekerjasama jayakan projek keutamaan di Pulau Pinang
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak untuk bekerjasama bagi menjayakan semua projek keutamaan di Pulau Pinang.
Beliau berharap mana-mana pihak yang terlibat tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara silo.
“Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) disaran untuk menyelaraskan semua program pembangunan Bumiputera bersama agensi-agensi dan institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik dan Kolej Komuniti.
“Selain daripada itu, agensi-agensi persekutuan hendaklah berkerja rapat bersama-sama pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dalam menjayakan program-program Bumiputera di negeri Pulau Pinang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Terdahulu, Anwar telah menghadiri Perjumpaan Khas di bawah MPBPP bagi melihat kemajuan projek termasuk perumahan dan hartanah, pendidikan dan kemahiran, ekonomi keusahawanan dan industri makanan, pembangunan keluarga dan masyarakat serta warisan dan pelancongan.
Turut sama adalah pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Persekutan dan Negeri, selain ketua-ketua agensi di peringkat persekutuan dan peringkat negeri yang terlibat, wakil-wakil Majlis Guru Besar, persatuan belia dan mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA Permatang Pauh dan Politeknik Seberang Perai.
Pada masa yang sama, Anwar turut mendengar pandangan,idea baharu dan cadangan yang telah dikemukakan oleh wakil-wakil belia dan mahasiswa berkenaan.
“Saya sangat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi peringkat persekutuan dan di peringkat negeri dalam usaha memperkasa program pembangunan Bumiputera di Pulau Pinang merentasi banyak bidang dan keperluan,” katanya.