Pilihanraya

Rafizi dakwa kempen PN di Sungai Bakap cacamarba

Perikatan Nasional (PN) dicabar membentangkan laporan prestasi sepanjang komponen parti itu memikul tugas sebagai wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli melontar cabaran itu melalui satu sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perpaduan di Jawi, Nibong Tebal pada Sabtu setelah mendapati jentera PN bagaikan kehilangan punca dalam usahanya untuk meraih undi sehingga bertindak serkap jarang memainkan isu nasional yang menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat.

“Saya boleh maklumkan penilaian kami pada kempen Kerajaan Perpaduan adalah jelas, sebab itu kita tengok segala mesej yang disampaikan PN cacamarba mengikut kepada isu nasional yang tidak begitu relevan kepada pengundi Sungai Bakap.

“Saya mencabar PN untuk membentang prestasi selama mereka menjadi wakil rakyat di sini kerana nampak mereka cuba mengelak soal prestasi,” katanya.

Sementara itu Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, memasuki minggu kedua kempen, jentera perpaduan akan memberi fokus seimbang antara penjelasan dan pendirian kerajaan terhadap beberapa isu yang dimainkan lawan.

Langkah itu jelasnya bagi memastikan naratif kempen berlaku dengan baik dan sampai, terutama kepada pengundi atas pagar.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan tidak pernah abai kedudukan Islam sebagai agama rasmiĀ 

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin menentang Abidin Ismail yang mewakili PN dalam persaingan satu lawan satu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi.

Related Articles

Back to top button