Nasional

Sheikh Al-Azhar adakan lawatan ke Malaysia 2 hingga 5 Julai

Ketua Institusi Al-Azhar (Sheikh Al-Azhar), Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyib dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula Selasa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, lawatan rasmi sehingga 5 Julai depan itu dibuat atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepanjang lawatan rasmi Sheikh Al-Azhar itu, selain pertemuan bersama Perdana Menteri, beliau juga akan mengadakan lawatan serta Bicara Eksekutif Madani di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Beliau juga akan menyertai Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana serta sesi pertemuan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Na’im berkata, lawatan rasmi itu juga dilihat memberi makna besar kepada usaha-usaha pengukuhan perpaduan umat Islam selain memperkukuh keakraban hubungan antara Malaysia dan Mesir.

“Pada masa sama, kehadiran Sheikh Al-Azhar juga akan memantapkan usaha-usaha pembangunan Islam di Malaysia khususnya pendidikan Islam dan tahfiz.

“Pihak kami yakin bahawa lawatan rasmi itu akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button