‘Tribut untuk guru saya, Pak Syed Husin Ali’ – Anwar Ibrahim
BELASUNGKAWA | Pedih untuk menelan kenyataan bahawa pertemuan terakhir kami baru seminggu yang lalu tanpa menggarap bahawa itu adalah pertemuan terakhir kami, dan saat penting itu akan terus melekat di ingatan dan sanubari yang terdalam. Justeru, saat mengenang sejarah panjang saya bersama beliau, saya terusik dengan rasa kagum dan keterujaan yang tinggi.
“Sesungguhnya kita semua milik Allah, dan kepadaNya kita semua akan kembali”.
(Al Baqarah: 156)
Masih saya ingat dalam banyak sesi kuliah dan syarahannya saat menuntut di Universiti Malaya yang sarat dengan kebijaksanaan yang berselirat dengan mesej yang mengajak untuk menegakkan keyakinan, dan itu juga bermaksud untuk bersikap kritikal, mempersoal status quo dan mendambakan sebuah sistem bermasyarakat—yakni sebuah tatanan—yang adil dan saksama.
Sosok Syed Husin berjuang sekerasnya untuk nasib mereka yang miskin, melarat dan tertindas, sambil mempertaruhkan jiwanya dalam mendepani permasalahan kemiskinan dan perjuangan kaum tani seperti Hamid Tuah dan juga nasib kaum buruh di Selangor pada sekitar 1960an. Dia berdiri tegak di situ, di barisan paling hadapan, terutamanya dalam mendukung perjuangan warga di bandar-bandar, petani di Baling, serta mahasiswa yang berjuang dalam mengangkat kepentingan rakyat.
Legasi yang ditinggalkan sosok kecil ini ternyata tidak kecil, dan ia berlanjut melebihi dewan dan gedung-gedung akademik. Sebagai tokoh besar dalam lapangan sains sosial, penulis dan pemikir, dia telah meninggalkan khazanah pengetahuan yang sangat besar dan meluas tatkala beliau berkongsi keghairahannya itu dengan Tongkat Warrant (Usman Awang) di dasawarsa-dasawarsa lampau, dan ia terbukti melalui peranannya sebagai Presiden PENA.
Keterlibatannya di jalur politik progresif sebagai Presiden Partai Rakyat Malaysia (PRM) dari 1990-2003, dan kemudian sebagai pengasas bersama serta Timbalan Presiden Partai Keadilan Rakyat (KEADILAN) lantas memperkukuh penjiwaannya kepada prinsip keadilan dan dalam membentuk serta mencorak sebuah Malaysia yang lebih baik.
Penghargaan setingginya buat Pak Syed kerana menjadi sosok guru yang luarbiasa hebat, mentor dan juga sahabat. Semangat juangnya akan terus menyemarak di banyak sanubari, dan legasi besarnya itu akan terus mengemudi arah dan masa depan bangsa.
Semoga Allah SWT melimpahkan belas kasihNya yang tidak terhingga ke atas ruh Pak Syed, Insya-Allah.
Tulisan ini dikongsikan Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman media sosialnya pada 29 Jun 2024 sebagai mengenang pemergian Syed Husin Ali.
Allahyarham Syed Husin Ali merupakan ahli akademik, pemikir, aktivis sosial, ahli politik, penulis dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) hampir enam tahun (1974-80) berikutan tunjuk perasaan petani-petani di Baling dan pelajar-pelajar di Kuala Lumpur yang turut disertai Anwar.