Anwar

Kerajaan beri jaminan kuota Bumiputera ke matrikulasi adalah kekal – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kuota pelajar Bumiputera sedia ada untuk melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, kekal.

Beliau berkata, ini kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan jaminan masa depan golongan Bumiputera supaya tidak berlaku kesenjangan dalam sistem pendidikan negara.

“Saudara minta orang (pelajar) sekolah Manek Urai (Kelantan) bersaing dengan Kolej Melayu (Kuala Kangsar, Perak) atau (sekolah) Chung Ling (Pulau Pinang) dengan prasarana siap di bandar dan sekolah yang terbaik dan minta bersaing dengan sekolah menengah di Kapit (Sarawak), tentu itu bukan keadilan.

“Kena ingat sementara kita setuju prinsip meritokrasi, kita juga harus pertahan prinsip keadilan. Kalau kita tekan merit sahaja, maka orang yang terpinggir, miskin akan kekal dalam keadaan sedemikian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai di Dewan De’ Seri Endon PUSPANITAPURI, di Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Terdahulu, Anwar dilapor berkata, kerajaan memberi jaminan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Anwar berharap dengan keputusan kerajaan dan penjelasan beliau mengenai matrikulasi akan meredakan suhu ketegangan yang dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM) hampir setiap tahun, yang kadang-kadang menghangatkan suhu politik serta menyebabkan ketegangan kaum dan sosial.

“Oleh kerana kita ada kuota Bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu yang agak keterlaluan, di satu pihak nak menafikan hak minoriti. Di satu pihak pula nak mempertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada Bumiputera terutama yang secara relatifnya dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa atau miskin bandar.

“Maka kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia rakyat dan warga negara kita, kita harus pelihara. Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi, maka siapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita berikan jaminan tempat di matrikulasi,” katanya.

Related Articles

Back to top button