Sukan

PSM setuju Malaysia jadi tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) untuk bergelar tuan rumah bagi penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, tawaran penganjuran kejohanan itu bagaimanapun, perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk daripada sudut dana sebelum langkah seterusnya dapat dilaksanakan.

“Banyak faktor dan sudut dibincangkan dan pada dasarnya, kita bersetuju cuma ada beberapa perkara perlu dihalusi.

“Antaranya dana serta takwim kerana tahun depan dijangka penuh dengan kejohanan besar termasuk Sukan SEA Bangkok, Piala Tun Ali, Liga Sepak Takraw (STL) dan mungkin kejohanan lain,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi badan induk sukan itu pada Ahad.

Mohd Sumali berkata, pihaknya akan membuat perbincangan lanjut bersama ASTAF dalam menentukan tarikh kejohanan itu sedia untuk dianjurkan tahun hadapan dengan mengambil kira pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selain Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Kita akan putuskan nanti sama ada Piala Asia ini akan diteruskan atau beri laluan pada kejohanan lain terlebih dahulu,” katanya.

Badan induk itu juga optimis bahawa tempoh masa mencukupi dalam soal mencari dana agar dapat memastikan kejohanan itu dijayakan pada tahun hadapan.

Faktor utama Malaysia diberi kepercayaan dan ditawarkan hak penganjuran Piala Asia 2025 adalah bersandarkan pada 10 asas kukuh dan praktikal, antaranya kejayaan menganjurkan Kejohanan Piala Dunia dengan cemerlang pada 16 – 26 Mei lepas.

Related Articles

Back to top button