Negeri

Sabah umum bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas banjir

Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terkesan akibat banjir di daerah Penampang, Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu, bantuan itu akan disalurkan kepada mangsa terlibat secara berperingkat yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya berkesempatan dengan wakil rakyat di sini Yang Berhormat Datuk Ewon selaku menteri persekutuan kita bersama-sama pada pagi ini untuk meninjau dan melihat sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir yang di tempatkan di Pusat Kebudayaan Penampang ini.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dan bersimpati dengan mangsa-mangsa ini dan kerana itu kita bersedia untuk membantu mereka yang datang pusat pemindahan sementara ini dengan bantuan RM1,000 setiap keluarga,” katanya.

Selain bantuan RM1,000 jelas Hajiji, Kerajaan Negeri juga akan memikirkan bantuan lain seperti membaiki kerosakan dapur dan lain-lain yang berkaitan seterusnya perkara itu akan dinilai kelak memandangkan semua mangsa masih berada di PPS.

Mangsa banjir di Penampang meningkat kepada 162 orang daripada 60 keluarga setakat tengah hari ini berbanding 112 orang daripada 40 keluarga pagi tadi.

Turut dilaporkan sebanyak 10 sekolah ditutup akibat banjir di empat daerah di Sabah, hari ini selepas laluan dan kawasan sekolah dinaiki air sejak petang Ahad.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, empat daerah terbabit ialah Penampang, Papar, Sipitang dan Tuaran.

Katanya, penutupan itu membabitkan 5,077 murid dan pelajar serta 307 guru, dengan jumlah paling ramai terjejas adalah di Penampang, iaitu lebih 4,000 murid dan pelajar.

Related Articles

Back to top button