Semasa

Tiada sebarang kenaikan harga gula – Timbalan Menteri KPDN

Tiada sebarang kenaikan harga gula yang akan dibuat setakat ini, tegas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Menjawab spekulasi kenaikan harga bahan itu Fuziah menjelaskan, isu itu timbul pada April lepas, susulan aduan daripada pihak industri yang memohon kerajaan untuk menaikkan harga gula selepas mendakwa mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap kilogram gula yang dikeluarkan.

“Tetapi, apa yang kita buat adalah kerajaan beri insentif RM42 juta sebulan kepada syarikat-syarikat ini untuk menstabilkan harga bekalan.

“Ini kerana kita tidak mahu nanti mereka rugi dan selepas itu tidak lagi keluarkan gula.

“Jadi kita bagi insentif supaya mereka keluarkan juga gula biarpun dalam keadaan mereka mengalami kerugian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara sebelumnya ditemui pemberita ketika menghadiri Hari Terbuka MySubsidi Diesel SKDS 2.0 (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, kerajaan juga belum membuat keputusan berhubung tempoh pemberian insentif itu kepada pihak industri gula.

BACA LAGI: KPDN rakam penghargaan, peniaga patuh harga siling telur ayam

“Setakat ini pembelian insentif itu masih berjalan dan tiada tempoh sampai bila ia akan diberikan,” katanya.

April lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan kerajaan akan membuat keputusan berhubung mekanisme menstabilkan bekalan gula termasuk harga bahan pemanis itu pada suku kedua tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyelesaian perkara berkenaan bukan suatu yang mudah terutama sekiranya melibatkan kenaikkan harga kawalan.

Related Articles

Back to top button