WHO belum kongsi maklumat lanjut Sindrom STSS – Dr Dzulkefly
Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendirian Sindrom Kejutan Toksik Streptococcal (STSS) yang sedang melanda Jepun belum menjadi cabaran kesihatan awam setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai mengulas perkara itu berkata, pihaknya belum mendapat maklumat lanjut mengenai kes itu, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak memberi kemas kini lanjut berhubung jangkitan sindrom berkenaan.
“Jadi saya ambil sikap ia bukan suatu cabaran atau not the public health hazards dalam konteks saat ini,”
Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Negeri Selangor di Dewan Dato’ Penggawa Matang di Kuala Selangor pada Ahad.
Menurut laporan Xinhua News Agency yang memetik Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID), Jepun mencatatkan kes STSS melebihi 1,000 kes pada 2024.
STSS juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk, adalah penyakit yang bermula secara tiba-tiba disebabkan oleh Streptokokus Kumpulan A.
Gejala awal biasanya termasuk sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan masalah gastrousus lain, serta gejala septik seperti tekanan darah rendah.
BACA LAGI: KKM lancar kajian pemetaan penjagaan kesihatan fasa 1
Sementara itu, Dzulkefly berkata KKM sedang berusaha meningkatkan kesedaran dan kepentingan mengamalkan pemakanan sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD).
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 jelasnya menunjukkan peningkatan prevalen penyakit yang tinggi dengan trend berat badan rakyat Malaysia di tahap membimbangkan iaitu pada prevalen 54.4 peratu sekali gus meningkatkan risiko kepada penyakit tidak berjangkit lain seperti kencing manis dan darah tinggi.