PM Anwar ajak penjawat awam abai suara-suara sumbang, fokus tingkat kualiti hidup rakyat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya setiap penjawat awam bermuhasabah ketika melaksanakan amanah dan tugas.
Menerusi ucapannya pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan pada pagi Selasa, beliau mengingatkan kepada semua penjawat awam untuk sentiasa mempersoalkan dan berfikir dengan hati nurani sama ada usaha yang dilakukan adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira kaya atau miskin.
Anwar berkata, keyakinan yang tinggi akan memartabat dan meningkatkan tahap kekayaan negara untuk menjadi lebih tinggi.
“Saya ingin mengajak semua untuk mengabaikan suara-suara sumbang yang mencela niat dan usaha murni kerajaan serta menghindari terlibat dalam budaya politik kebencian yang semakin menebal.
“Kerajaan MADANI sedang cuba untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pelaksanaan kebijakan yang adil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau memberikan contoh mengenai pembaziran hasil mahsul negara akibat budaya rasuah dan subsidi yang tidak sampai kepada kumpulan sasaran.
“Rasuah yang berterusan akan menghalangi sebahagian besar rakyat daripada menerima bantuan dan infrastruktur penting, yang menyebabkan sistem perkhidmatan awam dan prasarana menjadi usang dan tidak mencukupi,” tegasnya.
Anwar turut mempersoalkan sama ada dasar-dasar yang lalu atau yang sedia ada memaknai keadilan untuk semua insan.
Beliau menekankan perlunya menyediakan ruang kepada semua agar mereka yang terpinggir dapat dibela untuk melonjakkan darjat negara, serta memaknai keadilan dengan dasar-dasar yang adil, progresif dan terangkum demi kepentingan rakyat.