PRK Sungai Bakap: mengundi hanya untuk protes kerajaan tak untungkan rakyat – Nik Nazmi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap seharusnya membuka peluang dan dijadikan platform untuk parti politik bertanding menampilkan agenda dan manfaat yang ingin dibawa kepada rakyat.
Sementara itu, pengundi pula jelasnya bertanggungjawab memilih pihak yang boleh membawakan agenda terbaik untuk mereka, tegas Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad.
Tindakan mengundi semata-mata atas dasar protes semata-mata jelasnya tidak akan memberikan keuntungan atau manfaat kepada pengundi di kawasan itu.
“Rakyat bebas memilih sesiapa yang bertanding tetapi kalau atas dasar protes semata-mata bagi saya satu perkara yang tak berapa kena sebab undi satu perkara sangat berharga kita tak mahu dibazirkan begitu sahaja.
“Kita nak rakyat dapat pilih siapa yang mereka rasa dapat membawa agenda terbaik kepada mereka dan menjadi penghubung antara kawasan Sungai Bakap ini dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Semua pengundi penting termasuk pengundi muda dan atas pagar . Kita harap semua mereka keluar mengundi dan menghargai peluang itu termasuk undi 18 tahun semua gunalah sebaik mungkin sebagai satu usaha yang konstruktif demi masa depan Sungai Bakap,” katanya ketika ditemui dalam satu program di Simpang Ampat di Nibong Tebal.
BACA LAGI: Rafizi dakwa kempen PN di Sungai Bakap cacamarba
Sementara itu Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan, persepsi yang dibangkitkan pihak lawan pada kempen PRK itu misalnya berkenaan penyasaran subsidi diesel dan elektrik hanya mengelirukan rakyat.
“Ya, saya tengok beberapa banner (gegantung) dan sebagainya mereka nak menimbulkan sentimen sedangkan ia tidak berasas,” katanya.