Projek KSSA dimulakan, Stadium Shah Alam mula diroboh guna kaedah konvensional
Kerja perobohan Stadium Shah Alam yang bermula semalam dilaksana melalui kaedah konvensional tanpa bahan letupan.
Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Saipolyazan M Yusop berkata, proses perobohan menggunakan dua jentera jenis hidraulik breaker bagi meminimakan gangguan bunyi, habuk dan air terhadap penduduk.
“Kerja perobohan berlangsung selama setahun dan kita jangka bumbung bangunan mula dibuka penghujung bulan ini atau awal Ogos.
“Sejurus perobohan berada di peringkat pertengahan sekitar Oktober depan, kontraktor akan memulakan kerja tanah seperti tambakan bagi mempercepat proses pembinaan stadium baharu,” katanya ketika meninjau kerja perobohan stadium berkenaan pada Isnin.
Stadium Shah Alam dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Ikon baharu negeri Selangor itu akan dilengkapi dengan pusat latihan, fasiliti sukan, stadium dengan kemudahan canggih bertaraf dunia seperti retractable pitch (padang boleh alih) serta disokong pembinaan hotel, pusat beli-belah serta bangunan komersial yang boleh menjana ekonomi.
Dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, ia turut akan dilengkapi dengan teater tertutup untuk aktiviti kebudayaan dan konsert serta rekreasi untuk seisi keluarga selain Pasar Ahad turut dimodenkan.
BACA LAGI: Selangor beri jaminan pembinaan insinerator ikut prosedur
Sementara itu menurut Saipolyazan, MBI sentiasa memantau proses tersebut dan laporan dihantar setiap bulan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual ditetapkan.
“Selain itu, MBI menyeru kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memerlukan kerusi untuk digunakan di stadium masing-masing boleh membuat permohonan kepada pasukan projek.
“Terdapat 86,000 kerusi di stadium ini dan kerja-kerja pembukaan bumbung dijalankan selepas semuanya selesai dibuka. Setiap PBT boleh memanfaatkan kerusi sedia ada dan kita akan asingkan kerusi yang rosak,” tambahnya.