ekonomi

Rancak semula ekonomi negara jadi keutamaan kerajaan – PM Anwar

Kerajaan MADANI sedang memberi keutamaan untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen berkata, reformasi struktur ekonomi sedang giat dilaksanakan bagi mempercepat peralihan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat Ekonomi Madani untuk menjadi peneraju ekonomi Asia.

Usaha yang dilaksana itu bertujuan untuk mengembangkan saiz ekonomi negara sekaligus membawa Malaysia kembali ke landasan sebenar.

“Sasaran ini hanya akan dapat dicapai sekiranya ekonomi berkembang pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang,” menurut beliau yang juga Menteri Kewangan.

Terdahulu Ahli Parlimen Bachik, Mohd Syahir Che Sulaiman meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan terperinci kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia yang mana merupakan salah satu daripada tujuh matlamat yang ingin dicapai dalam Naratif Ekonomi Madani.

Menurut Anwar, usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Belanjawan 2024 bagi memaksimumkan potensi pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu jelasnya tumpuan juga diberi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berasaskan teknologi termaju dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) bagi menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

BACA LAGI: Penarafan S&P, Fitch jadi bukti pengurusan ekonomi berhemah kerajaan

“Firma akan digalakkan untuk meningkatkan pelaburan dalam perolehan mesin dan peralatan bagi mengembangkan kapasiti dan produktiviti serta melabur dalam teknologi termaju seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan Analitis Data Raya.

“Firma juga akan digalakkan untuk mempergiat pelaburan hijau dalam operasi dan premis perniagaan, termasuk untuk pembangunan dan penggunaan sumber tenaga boleh baharu (TBB),” katanya.

Beliau sementara itu menegaskan, pentadbirannya akan memudah cara bagi meningkatkan penglibatan institusi pendidikan tinggi, institut penyelidikan dan sektor swasta untuk mempercepat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

Related Articles

Back to top button