Parlimen

Kajian kebolehlaksanaan perundangan ‘Lemon Law’ dijangka selesai September ini

Kajian kebolehlaksanaan perundangan ‘Lemon Law’ bersama kumpulan perundingan pakar dijangka selesai September depan.

Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian dimulakan sejak bulan lalu akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar.

Ia akan menentukan sama ada perlu penambahbaikan terhadap kerangka perundingan sedia atau memerlukan penggubalan undang-undang baharu.

Lemon Law merujuk kepada undang-undang yang melindungi barang pengguna, khususnya kenderaan berkaitan produk yang berulang kali gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

Undang-undang itu bagi memastikan pembeli boleh mendapatkan penggantian atau bayaran balik bagi produk yang dianggap ‘lemon’ (produk cacat).

Pada masa ini, terdapat kelemahan pada undang-undang sedia ada menyebabkan pembeli kenderaan bermasalah tidak mendapat pembelaan atau ganti rugi sewajarnya daripada pengedar atau pengilang kenderaan.

Dalam pada itu, Armizan berkata, cadangan kerajaan untuk memperkukuh perlindungan hak kepenggunaan melalui penggubalan undang-undang Lemon Law mendapat respon positif daripada semua pemegang taruh termasuk pemain industri automatif.

Menurut beliau, maklum balas itu diperoleh menerusi penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 pada 4 Jun lalu.

Katanya, pihak industri berpendapat menerusi penggubalan sistem perundangan Lemon Law ia sekaligus membantu perkembangan industri automotif negara.

“Sebagai usaha berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha ini.

“Ini termasuklah penganjuran Simposium Kepenggunaan 2024 yang telah diadakan pada 4 Jun lalu bertujuan mendapat maklum balas daripada pemegang taruh berhubung pengukuhan kerangka perundangan Lemon Law di Malaysia.

“Bersandarkan kepada simposium tersebut didapati semua pihak atau termasuk pihak industri memberi respons positif untuk memperkukuhkan perlindungan hak kepengunaan melalui Lemon Law sekali gus membantu perkembangan industri automotif negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin mengetahui cabaran KPDN dalam menggubal akta baharu atau meminda akta sedia ada berkaitan Lemon Law dan bagaimana tahap kerjasama pemain industri kenderaan terhadap cadangan pengenalan undang-undang itu.

Related Articles

Back to top button