Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: Umno yakin pengundi muda akan pilih calon Kerajaan Perpaduan – Zahid

Umno yakin pendekatan bersesuaian yang dilaksanakan mampu menarik golongan muda untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun golongan muda mungkin mempunyai sentimen tertentu namun perdekatan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan sesuai dengan cita rasa mereka.

“Bagi anak-anak muda (kita) telah ada program-program tertentu yang dilaksanakan.

“Mereka mungkin bersentimen sebaliknya, tetapi apabila pendekatan dilakukan dengan kaedah yang terbaik dan sesuai dengan cita rasa mereka.

“Saya fikir akhirnya pada hari pengundian mereka akan mengundi calon (Joohari) sebagai wakil rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid turut yakin Joohari akan memenangi PRK Sungai Bakap yang berbaki tiga hari lagi.

“Umno mempunyai lebih 5,000 ahli di Sungai Bakap dan jentera parti juga akan memberi tumpuan kepada ahlinya agar memberi sokongan dan undi kepada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas, akibat keradangan dalam perut.

Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Dr Joohari yang merupakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara untuk merampas kerusi DUN itu manakala PN menamakan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail sebagai calon mereka.

Related Articles

Back to top button