Negeri

Program pembangunan mahasiswa mampu beri ruang graduan berbakti kepada negeri – MB Selangor

Program pembangunan mahasiswa diharap mampu memberi peluang dan ruang kepada graduan Selangor meraih manfaat lebih besar untuk berbakti kepada negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu bukan sekadar program ‘one-off’ tetapi dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Memegang portfolio pendidikan negeri, agenda pembangunan pendidikan melalui program pembangunan pelajar peringkat menengah atas dan mahasiswa adalah sesuatu yang begitu dekat dengan saya.

“Melalui inisiatif ini, Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor ditubuh dengan penglibatan pasukan teras melalui wakil agensi dan entiti strategik Kerajaan Negeri daripada pelbagai lapangan dan latar belakang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, inisiatif berkenaan melibatkan pasukan teras melalui wakil agensi dan entiti strategik Kerajaan Negeri Selangor daripada pelbagai latar belakang.

“Elemen-elemen Kebajikan Siswa, Kelangsungan Budaya Ilmu, Ketatanegaraan, Kebolehpasaran Graduan serta Keberhasilan Program secara jangka pendek, sederhana dan jangka panjang dirangka secara komprehensif,” katanya.

Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri julung kalinya menjayakan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah (KOMSEL) sejak 2019 dan dilaksanakan sehingga kini.

“Tahun lepas melalui Belanjawan Selangor 2024, saya ilhamkan Jelajah Mahasiswa #KitaSelangor yang kini dikenali dengan Jerayawara Siswa #KitaSelangor yang dijalankan di Sabah dan Pulau Pinang bertujuan meluaskan inisiatif itu kepada mahasiswa Selangor seluruh negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button