Nasional

FAMA sedia 5,000 kampit beras, 90,000 telur sempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan 5,000 kampit Beras Putih Tempatan (BPT) dan 90,000 biji telur untuk diedarkan kepada pengguna bersempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang diadakan di Dataran Sayangi Kuantan, di Pahang selama tiga hari bermula esok (Jumaat).

Pengarah FAMA, Saiful Sadri berkata, pihaknya turut menyediakan lebih 3,000 unit Kombo Madani pakej A dan B dengan harga istimewa RM10 membabitkan barangan makanan asas seperti minyak masak, bihun, telur, bawang, ayam, lada merah dan ikan keli sejuk beku.

Menurutnya, bagi penggemar buah tempatan mereka boleh mendapatkan nangka madu tempatan, tembikai merah dan kuning serta Pamelo Sabah yang dijual pada harga serendah antara RM1.50 hingga RM5 sekilogram.

Katanya, beras putih tempatan kampit 10 kilogram (kg) dijual dengan harga RM26 mengikut harga kawalan kerajaan dan mula dijual mulai Jumaat.

Telur gred C RM10 satu sarang sebanyak 30 biji, gred B (RM11) dan gred A (RM12).

“Saya berharap pengguna tidak melepaskan peluang untuk datang ke gerai FAMA bagi mendapatkan keperluan harian yang disediakan kami sepanjang program, jualan bermula esok hingga Ahad.

“Mereka yang bertuah turut berpeluang mendapatkan Kombo Madani Happy Hour pada harga RM8 seunit.

“Kita sedia menambah barangan jualan sekiranya keadaan memerlukan terutama membabitkan beras dan telur bagi memenuhi permintaan pengguna yang datang ke Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur,” katanya, di Kuantan pada Khamis.

Program MADANI Rakyat Zon Timur dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabtu ini.

Related Articles

Back to top button