Semasa

‘Jangan ketepi identiti dan budaya bangsa dalam kejar pembangunan’ – PM Anwar

Pembangunan negara tidak boleh dilaksana dengan meminggirkan identiti dan budaya sesebuah negara, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada ucapan ketika merasmikan Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu beliau berkata, merupakan suatu perkara memalukan sekiranya pembangunan yang dikejar menyebabkan hilangnya identiti dan budaya bangsa.

“Arkitek kita dilatih di Barat. Saya gembira mengetahui mereka lebih sinonim dan komited untuk menunjukkan bahawa apa yang kami tunjukkan bukan sekadar hutan konkrit.

“Ia perlu mempunyai perwatakan, budaya dalam konteks Malaysia, Orang Asli, Melayu, Cina, India dan sebahagian daripada komuniti kita.

“Jika anda melihat ke luar Sabah dan Sarawak, anda akan melihat gabungan budaya yang hebat. Memalukan jika kita tidak mengambil kira ciri ini,” katanya.

ACMROCH 2024 diadakan bersempena Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 ke-23.

ARCHIDEX yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga Sabtu ini menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audiovisual dan pencahayaan, Model Bangunan Bermaklumat (BIM) & Sistem Binaan Berindustri (IBS), bahan binaan serta landskap.

BACA LAGI: PM Anwar sumbang RM50,00 untuk pembangunan Madrasah Asyraful Madaris

Sementara itu, saranan Perdana Menteri berhubung perkara itu disokong penuh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Justeru jelasnya, KPKT akan bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) bagi meningkatkan lagi komitmen pembinaan yang menonjolkan budaya Malaysia

“Kami akan melaksanakan seruan ini dengan lebih komited. Malah, banyak bangunan di Malaysia mengetengahkan seni bina budaya Malaysia yang pelbagai,” katanya.

Related Articles

Back to top button