Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: Hadiah teristimewa buat Anwar sekiranya menang

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin pada Sabtu ini akan menjadi hadiah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, ini memandangkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap itu merupakan tempat kelahiran Anwar yang juga Presiden KEADILAN.

“Jadi insya-Allah kalau kemenangan berpihak kepada Cikgu Joohari, kemenangan itu adalah hadiah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya juga berazam jika pengundi-pengundi Sungai Bakap memberi kemenangan kepada Cikgu Joohari saya akan datang balik membantu membawa pembangunan di Sungai Bakap ini,” katanya ketika hadir ke program malam kasih bersama pemimpin di Sungai Kechil, Nibong Tebal, pada Rabu.

Kemenangan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap Sabtu ini amat penting kepada Kerajaan Perpaduan kerana akan memberi imej yang baik terhadap kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN).

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN berkata, pihaknya komited untuk mengekalkan kerjasama yang baik kerana PH sebelum ini telah membantu mereka dalam beberapa PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kemenangan di Sungai Bakap ini sungguh penting untuk Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dan juga imej untuk Kerajaan Perpaduan (di peringkat nasional).

“(Jadi) saya memohon kepada pengundi-pengundi supaya berikanlah sokongan kepada calon kami dan insya-Allah jika beliau terpilih, tentunya rakyat Sungai Bakap akan lebih berkeuntungan kerana beliau akan bersama-sama kerajaan negeri dan kerajaan negeri juga di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Related Articles

Back to top button