Negeri

Cadangan bina enam lebuh raya baharu di Selangor dalam proses penelitian – Exco

Kerajaan Negeri Selangor sedang meneliti dan menunggu jawapan daripada kerajaan persekutuan berhubung cadangan pembinaan enam lebuh raya baharu di negeri itu.

EXCO infrastruktur Ir Izham Hashim berkata lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Putrajaya-Bangi (PBE), Lebuhraya Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL NODE) dan Lebuhraya Senawang KLIA Salak Tinggi (SKLIA).

Tiga lagi ialah Lebuhraya Pintasan Lebuhraya Persekutuan (PINTAR), Lebuhraya Kuala Lumpur Shah Alam (KL SKYWAY) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Klang Link (SKL).

“Untuk cadangan pembinaan lebuhraya PBE, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan persekutuan berhubung pelaksanaan projek ini.

“Bagi KL NODE kita masih diperingkat rundingan teknikal antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan syarikat pencadang dan tiga projek sedang dalam penelitian persekutuan,” katanya di persidangan Dewan Negeri Selangor pada Khamis.

Sementara itu beliau turut memaklumkan status pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) sedang dinilai semula susulan penambahbaikan yang dilaksana pemaju.

Penambahbaikan tersebut membabitkan penjajaran semula enam lokasi selain pemaju perlu melaksanakan semula laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Ada enam tempat yang telah dibuat penambahbaikan dan kita rasa ada mitigasi yang baik dalam cadangan baharu PJD Link itu.

“Namun ia perlu dibawa semula ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk kita tahu adakah ia menepati kehendak penduduk setempat. Laporan SIA juga perlu dibuat semula,” katanya.

BACA LAGI: Projek KSSA dimulakan, Stadium Shah Alam mula diroboh guna kaedah konvensional

Kerajaan Negeri baru-baru ini membatalkan permohonan pembinaan PJD-Link di Petaling Jaya berikutan pelan yang dikemuka tidak menepati syarat ditetapkan.

Jajaran asal projek itu dibimbangi akan menyebabkan gangguan bunyi kepada pelajar dan keretakan bangunan sekolah berhampiran.

Related Articles

Back to top button