PRK Sungai Bakap: 39,222 pengundi akan tunaikan tanggungjawab esok
Pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok (Sabtu) selepas tamatnya 14 hari tempoh berkempen.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.
Daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar tersebut, majoriti pengundi terdiri daripada mereka yang berusia 21 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 9,598 orang, diikuti 8,187 orang (30 hingga 39 tahun), 6,928 orang (40 hingga 49 tahun), 5,656 orang (50 hingga 59 tahun), 3,610 orang (60 hingga 69 tahun), 3,134 orang (18 hingga 20 tahun), 1,658 orang (70 hingga 79 tahun) dan 508 orang (80 tahun dan ke atas).
Bagi dua calon bertanding, hanya Abidin yang akan mengundi esok iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri memandangkan Joohari adalah pengundi di DUN Sungai Acheh, juga di bawah Parlimen Nibong Tebal.
Bagi proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang esok, sebanyak sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di Nibong Tebal.
Pada PRK kali ini, sebanyak 552 petugas SPR digerakkan untuk membantu melancarkan proses pengundian manakala polis pula meletakkan lebih 600 anggota bagi menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas.
Terdahulu, Kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lepas, menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Dalam ada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman sesawangnya meramalkan cuaca esok hujan pada sebelah pagi namun di sebelah petang cuaca kembali baik dengan suhu antara 26 hingga 33 darjah Celsius.