Semasa

Umat Islam Malaysia diseru bersikap lita’aruf termasuk kepada bukan Islam

Umat Islam di negara ini diseru agar lebih positif dan berani menonjolkan akhlak Islam, dalam menyantuni penganut agama lain di Malaysia serta rantau Asia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu merujuk pandangan disampaikan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb kepada beliau sebagai nasihat dalam usaha merealisasikan cita-cita Malaysia membentuk sebuah negara Madani.

Anwar juga berkata, tokoh agama terkemuka itu juga menggesa beliau bekerja lebih kuat dan bersungguh-bersungguh, menghimpunkan kekuatan umat dan pada masa sama memastikan ada sikap lunak, berbaik sangka, saling menghormati serta lita’aruf dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Insya-Allah, kita akan tunaikan amanat, pandangan yang beliau sentuh dengan sebaik mungkin, terutama soal landasan kekuatan asas Muslim serta peringatan kepada umat Islam untuk mempunyai keupayaan menguasai disiplin ilmu dan teknologi baharu,” katanya.

Anwar berkata begitu pada ucapan selepas menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada Sheikh Al-Azhar, yang disempurnakan Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Penganugerahan itu disempurnakan dalam satu Majlis Konvokesyen Khas di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

BACA LAGI: Lawatan khas Sheikh Al-Azhar disifatkan penghormatan besar kepada Malaysia

Sementara itu Anwar berkata Sheikh Al-Azhar telah mempunyai sumbangan sangat besar kepada dunia Islam termasuk di Kepulauan Melayu.

“Malah Azharis (lulusan Universiti Al-Azhar) banyak beri manfaat, menjadi benteng utama mempertahankan akidah ilmu, menanam semangat serta roh Islam dalam masyarakat di sini menghadapi serangan pelbagai (seperti) kepincangan akibat asakan pemikiran barat, ideologi liberal menyimpang landasan Islam serta pelampau taksub, sehingga berlaku perpecahan.

“Semoga universiti utama seperti Al-Azhar ini dengan rangkaian sistem pendidikan yang ada dalam negara kita, dapat meneruskan usaha mempertahankan umat utamanya melalui gedung-gedung ilmu,” katanya.

Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, dalam lawatan khas selama empat hari ke Malaysia yang akan berakhir hari ini.

Related Articles

Back to top button