Semasa

KPKT kenal pasti kawasan bandar lama berpotensi dibangunkan semula

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 534 kawasan bandar di Semenanjung Malaysia yang berpotensi untuk pembangunan semula.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata daripada jumlah itu, 139 kawasan berada di Kuala Lumpur dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 1,297.62 hektar.

“Dalam kes yang paling ekstrem, bahagian lama sesebuah bandar ditinggalkan, tidak sihat dan tidak lagi mampan namun terdapat seni bina yang signifikan dari segi budaya serta sejarah yang patut dipelihara…

” Justeru ini adalah langkah permulaan yang penting ke arah meremajakan semula bahagian yang telah ditinggalkan dalam fabrik perbandaran kita,” katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Kor Ming berkata, cadangan pembangunan semula bandar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM355.3 bilion itu merangkumi tujuh aspek iaitu peruntukan undang-undang, perkongsian awam-swasta, pembinaan keupayaan dan perkongsian pengetahuan.

Ia turut merangkumi libat urus dan keterangkuman komuniti, reka bentuk yang mampan dan berdaya tahan, penggunaan teknologi dan inovasi serta ketelusan dan akauntabiliti.

Sementara itu tambahnya, kementeriannya mencadangkan rang undang-undang untuk menggubal Akta Pembangunan Semula Bandar yang akan mentadbir aktiviti pembaharuan dan pembangunan semula bandar di negara ini.

BACA LAGI: ‘Jangan ketepi identiti dan budaya bangsa dalam kejar pembangunan’ – PM Anwar

Akta itu bertujuan memulihkan kemeriahan dan daya tarikan kawasan lama, menyediakan ruang kediaman mampu milik, meningkatkan kemudahan awam dan menghidupkan semula seni bina dengan kepentingan nasional dan dijadual dibentang di Parlimen menjelang suku pertama 2025,

“Prinsip panduan tertinggi untuk menggubal undang-undang itu seperti biasa semestinya demi kesejahteraan rakyat dan tiada yang lebih penting daripada kemanusiaan selaras dengan aspirasi MADANI,” katanya.

Related Articles

Back to top button