Nasional

Malaysia sasar kekal ke-10 negara paling aman di dunia dalam GPI – Menteri

Malaysia meletakkan sasaran untuk mengekalkan kedudukan tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia dalam Indeks Keamanan Global (GPI) pada tahun 2025, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pelbagai usaha bagi mencapai sasaran yang ditetapkan itu.

“Kami unjurkan mengekalkan kedudukan 10 terbaik dan pihak polis akan telitikan semua petunjuk yang memberi pemberat kepada bacaan indeks tersebut.

“Ia bukan sahaja polis tetapi semua pemegang taruh di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Larian Hari Polis di Dataran Putrajaya, pada Sabtu.

Saifuddin berkata, kedudukan dalam GPI penting dan perlu diberi perhatian kerana soal keamanan menjadi galakkan untuk pelabur datang ke Malaysia.

“Penting kita bagi perhatian (GPI), sebab para pelabur melihat indeks seperti ini sebelum dia nak datang (labur) wang mereka bernilai berbilion, dia nak tahu jaminan keamanan dan ketenteraman awam.

“Ia jadi satu petunjuk penting untuk segmen pelaburanya, kerana banyak pihak menyumbang kepada peningkatan prestasi dalam GPI,” katanya.

Media pada 15 Jun lalu melaporkan Malaysia telah naik sembilan anak tangga dalam GPI 2024 untuk menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia.

Menurut GPI 2024 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), keputusan itu adalah di tengah-tengah kemerosotan tahap purata keamanan global yang menyaksikan penurunan sebanyak 0.56 peratus dan ini merupakan tahun kelima berturut-turut ia merosot.

Malaysia berada di kedudukan ke-19 dalam laporan GPI 2023.

Related Articles

Back to top button