Jangan jadikan media sosial sebagai platform berbalah – Agong
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak bersikap keterlaluan atau ‘extreme’ terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama.
“Jangan buka aib orang lain atau tularkan perkara-perkara yang memalukan, kerana ini semua akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan,” titah Sultan Ibrahim pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Putrajaya. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar.
Sultan Ibrahim bertitah orang ramai hari ini berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.
Justeru Seri Paduka Baginda mengingatkan semua rakyat supaya sentiasa berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial dan memastikan kandungan yang diperoleh adalah sahih dan berwibawa.
Sultan Ibrahim bertitah terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran menyimpang daripada prinsip Islam sebenar.
“Jika orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliyah di masjid, tetapi masyarakat sekarang belajar agama secara ‘on-line’ daripada ‘Ustazah Facebook’ dan ‘Ustaz Tik Tok’,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan umat Islam supaya lebih bijak menilai mana betul dan mana yang salah, memandangkan penyebaran maklumat agama tidak tepat melalui media sosial boleh mengundang kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang.
Sempena dengan sambutan Maal Hijrah tahun ini, Sultan Ibrahim turut menyeru seluruh umat Islam agar meninggalkan tabiat buruk dan perkara yang bertentangan dengan Al-Quran.
Bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI”, sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dihadiri kira-kira 6,000 tetamu.