Semasa

HRD Corp: KESUMA laksana pembaharuan, pastikan akauntabiliti dan integriti – Menteri

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah melaksanakan rekayasa merentasi keseluruhan kementerian bagi memastikan tatakelola yang baik dan proses di seluruh kementerian serta agensinya.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata begitu merujuk dapatan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi melalui LKAN 2/2024 terhadap Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

“Dalam tempoh enam bulan ini, sebelum audit selesai, Kesuma telah melakukan pelbagai pembaharuan untuk meningkatkan tadbir urus di seluruh kementerian. Di HRD Corp kami menubuhkan Jawatankuasa Risiko dan Jawatankuasa Audit baharu sebagai usaha memastikan pengurusan kewangan yang lebih baik.

“Mengetatkan prosedur dalam mentadbir pelaburan juga dilaksanakan. Dana Inisiatif Strategik (SIF) baharu diwujudkan untuk mengasingkan akaun amanah levi. Levi sepatutnya hanya digunakan sepanuhnya untuk tujuan latihan oleh majikan kepada pekerja mereka.

“SIF dibiayai daripada keuntungan HRD Corp dan ia untuk digunakan sebagai menyokong pelbagai latihan kemahiran dan inisiatif pembangunan modal insan seperti untuk membantu golongan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) yang mungkin tidak memiliki atau memiliki levi HRD Corp yang terhad untuk melatih pekerja mereka dan menyediakan latihan kemahiran kepada golongan rentan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Steven Sim turut menjelaskan, beliau dilantik sebagai menteri berkenaan pada Disember tahun lepas manakala isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah bagi tempoh 2019 hingga 2023.

Wan Suraya melalui LKAN 2/2024 berkata terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

BACA LAGI: PM mahu semua kementerian dan agensi k’jaan utamakan tatakelola, kebertanggungjawaban

Susulan itu Steven Sim berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan terbabit.

“Maklum balas segera diberikan oleh KESUMA selepas kedua-dua laporan terbabit dibentangkan, yang turut menyaksikan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh 24 jam, sekali gus menunjukkan asprirasi KESUMA terhadap akauntabiliti dan integriti yang tinggi,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button