Anwar

Malaysia sertai BRICS bukan untuk campuri urusan domestik, politik – PM Anwar

Tiada masalah untuk Malaysia menyertai kumpulan ekonomi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) BRICS memandangkan ia juga tidak bercanggah dengan dasar luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Dewan Rakyat pada Selasa, sebagai negara bebas dan merdeka, adalah baik untuk negara menjalin hubungan dengan banyak negara, termasuk blok ekonomi yang ada.

Menurut beliau, Malaysia tidak harus terikat dengan satu blok sahaja sedangkan ada blok baharu yang meningkat naik, tidak lagi bergantung kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan melihat penyertaan dalam BRICS ini tidak menjadi satu permasalahan kerana negara menyertai BRICS ini juga menyertai dan mempunyai hubungan dagang yang baik dengan Eropah, AS dan negara lain.

“Malah, ada pertentangan dan perbezaan besar kita dalam isu Gaza umpamanya, isu negara berkembang, isu persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), tapi itu tak menyebabkan kita harus memutuskan perhubungan terutama bila keutamaan itu adalah perdagangan,” katanya.

Beliau menegaskan apa yang penting sekali adalah perdagangan, ekonomi negara dan kenapa harus terikat dengan satu blok?

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN – Kapar) yang meminta penjelasan mengapa Malaysia berubah pendirian dan bersetuju menyertai BRICS.

Related Articles

Back to top button