Nasional

Undang-undang harus diperketat bagi membanteras kegiatan buli siber – AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa semua pihak berkuasa terlibat untuk memperketatkan undang-undang laman media sosial bagi membanteras kegiatan buli siber.

Ahlis Majlis Pimpinan AMK, Suria Vengadesh berkata, budaya buli adalah suatu budaya yang amat jelik dan dipandang hina oleh semua manusia tidak kira apa pun darjatnya.

“Saya menyeru agar semua pihak bekuasa yang berkaitan terutama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital mengambil peranan secara serius untuk mendakwa individu yang terlibat dan sekiranya disabitkan, hendaklah diberi hukuman yang berat mengikut undang-undang negara.

“Hukuman berat yang dikenakan ke atas pelaku akan memberikan isyarat yang jelas kepada sesiapa yang terlibat dalam buli siber di media sosial bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan perlakuan jijik ini dan setiap pelaku tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian susulan kes kematian seorang pempengaruh, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha yang telah mengambil keputusan untuk mengambil nyawanya sendiri akibat dibuli di laman media sosial TikTok.

“Kejadian tragis ini adalah suatu peringatan kepada kita tentang bahaya buli siber terhadap individu terutama kepada anak muda yang lebih terdedah dengan media sosial.

Ujarnya, kementerian terbabit juga perlu melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap pihak pengendali media sosial supaya lebih serius dalam pengawasan kandungan digital di laman sosial masing-masing.

Selain itu, Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pengendali perkhidmatan perlu melaksanakan polisi pendaftaran yang lebih ketat untuk membasmi pendaftaran akaun palsu yang berleluasa di media sosial.

Jelasnya, pengendali perlu memastikan hanya akaun yang dapat dikenalpasti sahaja boleh didaftarkan sekali gus dapat mencegah pelanggaran undang-undang dari berlaku serta membasmi buli siber dari awal.

“Kehilangan Esha yang tragis ini adalah satu isyarat jelas kepada kita warga Malaysia tentang bahaya buli siber dan kesan terhadap individu yang terbabit,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru pihak kerajaan merangka dan melaksanakan undang-undang untuk melindungi pengguna media sosial terutamanya rakyat Malaysia dari gejala buli siber.

Related Articles

Back to top button