Parlimen

3.61 juta ahli KWSP manfaat Akaun Fleksibel berjumlah RM11.52 bilion – MoF

Seramai 3.61 juta atau 27.8 peratus daripada 13.01 juta keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan sebanyak RM11.52 bilion setakat 24 Jun lalu.

Dalam pada itu, kata Kementerian Kewangan (MoF) berkata, sebanyak RM5.12 bilion dipindahkan ke Akaun Persaraan.

“Seramai 3.16 juta ahli atau 24.3 peratus daripada jumlah 13.01 juta keseluruhan ahli KWSP berumur bawah 55 tahun membuat pengeluaran dari Akaun Fleksibel melibatkan amaun pengeluaran sebanyak RM7.81 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.

MoF berkata, inisiatif berkenaan adalah langkah proaktif untuk membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan, penuaan penduduk serta perubahan keperluan mengikut kitaran hayat ahli KWSP.

MoF berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan oleh Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang meminta status pembaharuan Akaun Fleksibel mulai 11 Mei kepada pencarum.

“Dalam kalangan ahli yang membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, seramai 41,000 ahli, sebelum pindahan dilakukan tidak mencapai simpanan asas mengikut umur ketika ini mencapai simpanan asas mengikut umur berikutan pindahan sebahagian simpanan Akaun Sejahtera mereka ke Akaun Persaraan,” katanya.

MoF berkata, KWSP kekal komited untuk terus memberi pulangan yang kompetitif kepada para pencarum dalam usaha meningkatkan baki simpanan persaraan mereka dan mengelakkan terjebak dalam krisis kemiskinan pada usia tua.

“Pengumpulan baki simpanan ahli adalah bergantung kepada trend caruman dan pengeluaran oleh ahli.

“Caruman yang konsisten dan pengeluaran hanya dilaksanakan untuk tujuan berpatutan akan membantu ahli membina baki simpanan persaraan pencarum,” katanya.

Related Articles

Back to top button