Parlimen

Beri ruang syarikat minyak Semenanjung laksana penyasaran subsidi diesel sebelum diperluas

Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia adalah langkah fasa pertama bagi memberi ruang kepada syarikat minyak untuk membangunkan dan melengkapkan kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF berkata, ia bagi memastikan syarikat minyak bersedia sekiranya langkah tersebut diperluas ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pada masa ini kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak memandangkan sebahagian besar mod pengangkutan untuk menjalankan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di kedua-dua negeri itu menggunakan bahan api diesel.

“Tambahan pula, keadaan geografi di situ mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme ‘fleet card’ yang memerlukan kemudahan dan infrastruktur yang lebih canggih terutamanya di kawasan pedalaman,” menurut MoF dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

‘Fleet card’ adalah sistem subsidi diesel yang telah ditambah baik untuk memastikan kenderaan yang layak mendapat subsidi boleh dipantau daripada segi penggunaan diesel dan mengelakkan berlakunya ketirisan.

MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta kementerian menyatakan apakah rasionalnya pelaksanaan subsidi diesel bersasar hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia dengan tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.

Related Articles

Back to top button